Selasa, 16 Jun 2009

KOMUNIS : Tiada Maaf Bagimu Lagi......

Pada 20 Mei 2009, Dr Teng Hock Nan (Pengerusi Parti GERAKAN) mahu kerajaan membenarkan Chin Peng kembali semula ke Malaysia. Chin Peng kini berada di Bangkok. Rayuan Chin Peng untuk kembali ke Malaysia telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 30 April 2009. Ini bukan kali pertama Chin Peng merayu untuk pulang ke Malaysia, pada 1 Disember 1990, Chin Peng bersama dengan 8 orang bekas anggota PKM pernah membuat permohonan untuk pulang ke Malaysia. Pada 14 April 2009, diwujudkan satu blog untuk menceritakan kembali kisah komunis. Facebook juga diwujudkan untuk komunis. Mengapa ketika Malaysia dilanda dengan kegawatan politik, fahaman komunis tiba-tiba mahu ditonjolkan kembali?

Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 20 April 1930, kira-kira 79 tahun yang lalu. Tujuan penubuhan PKM, selain dari menghalau British keluar dari Tanah Melayu, komunis juga mahu menubuhkan sebuah negara republik komunis di Tanah Melayu. Bagi meraih simpati dan sokongan orang Melayu, maka pihak PKM telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menerusi Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Ashaari (Bendahari), Rashid Maidin dan Abdullah C.D. Orang Melayu telah diberikan jawatan untuk digunakan oleh komunis. Angkara Komunis telah menyebabkan darurat diisytiharkan di Tanah Melayu pada 12 Julai 1948.

Jadual di atas menunjukkan kemusnahan harta benda awam yang telah dilakukan oleh komunis menurut Buku Darurat 1948-1960, Keadaan Sosial di Tanah Melayu, mukasurat 224, tulisan Ho Hui Ling.
Selain kemusnahan harta benda, apa lagi yang komunis lakukan selama 42 tahun daripada 1948 hingga 1990? Sejumlah 1,444 orang anggota polis telah terkorban, manakala 1,883 lagi anggota polis telah cedera angkara PKM. 2,558 orang awam terbunuh dan 1,490 orang awam cedera akibat kekejaman komunis.

Pada 23 Februari 1950, 17 anggota polis telah terkorban di Bukit Kepong akibat kekejaman komunis. 200 orang pengganas komunis telah menyerang dan membakar balai polis di Bukit Kepong. Apa yang memalukan, 200 orang pengganas komunis ini diketuai oleh orang Melayu sendiri yang bernama Muhammad Indera dari Kompeni Bebas Ke-4, Komunis. Melayu digunakan oleh komunis untuk membunuh orang Melayu yang lain. Bukan sekadar membakar balai dan berek kelamin, malah komunis juga telah mencampak hidup-hidup Hassan Bin Abu Bakar (anak seorang konstabel polis) ke dalam api. Begitulah kejamnya komunis.

Namun ada juga orang yang mahu menyokong komunis. "Kerajaan tidak berlaku adil kepada PKM dengan melabel mereka sebagai golongan kiri, subversif dan komunis. Fakta itu sengaja diselewengkan kerana mereka bukan pengganas, bahkan mereka adalah pejuang kemerdekaan" kata Ramadhan Fitri Elias (Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya) ketika berucap dalam satu majlis Modul Hubungan Etnik di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur pada 13 Mac 2007. Nama parti pun sudah parti komunis, bukan kerajaan yang melabelnya. Kekejaman komunis tidak boleh ditukar kepada pejuang kemerdekaan.

Kesimpulannya, kekejaman komunis tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Beribu nyawa yang terkorban angkara komunis. Rayuan Chin Peng untuk pulang menimbulkan seribu satu tanda tanya. Mengapa Chin Peng dan kumpulan komunis beriya-iya benar mahu kembali ke Malaysia? Mereka juga sudah berkempen dalam blog dan facebook untuk menambat hati rakyat dan cuba memadam sejarah kekejaman mereka. Rakyat Malaysia harus sedar dan sentiasa sedar, kekejaman komunis adalah luka yang masih berdarah. Komunis, tiada maaf bagimu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pejuang/// tidak sama sekali bertanggungjawab atas sebarang komen yang diberikan oleh sahabat ke dalam artikel pejuang///.