Tak tahulah saya pepatah yang tepat untuk ditujukan kepada rakan komponen BN yang seperti MCA ini. Dewasa ini semakin selalu kita diperdengarkan oleh suara-suara sumbang yang mencabar toleransi kita, yang terkeluar dari mulut pimpinan MCA. Walaupun dulu mungkin ada juga, tetapi dalam situasi hari ini, suara-suara ini amat membebankan. Saya sebut MCA kerana apa yang saya baca hari ini akan kenyataan Sdr. Lee Wei Kiat, Pengerusi Biro Komunikasi dan Maklumat Pemuda MCA, menurut akhbar STAR dan UTUSAN MALAYSIA.
Agaknya angin saya naik melampau sebab ini bukan pertama kali suara sumbang ini terkeluar, bukan sahaja oleh MCA, juga oleh beberapa rakan Komponen yang unggul seperti GERAKAN, MIC dan PPP.
Hari ini, Pemuda MCA menurut Lee Wei Kiat menyatakan tidak bersetuju kepada resolusi yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS berkenaan kepentingan Bumiputra dimana mereka telah meluluskan satu resolusi untuk "mendesak Kerajaan agar memperkasakan mekanisme kawalan modal untuk memastikan negara ini tidak dijajah dari segi ekonomi oleh kuasa asing". Didalam konteks ini Pemuda PAS meluluskan usul kerana "menyedari keseimbangan ekonomi diantara kaum amat penting untuk kemakmuran negara dan kesejahteraan masyarakat majmuk". Pemuda PAS mahu "dasar 30% ekuiti bumiputra dipertahankan kerana ia masih diperlukan untuk mengimbangi gagasan ekonomi negara diantara bumiputra dan bukan bumiputra". Dewan Pemuda PAS "menyedari terdapat usaha pihak yang irihati terhadap dasar ekuiti 30% bumiputra dalam setiap pelaburan asing di negara ini".
Apa salahnya usul tersebut pada Pemuda MCA hingga perlu dia melenting dan mengingatkan Pemuda PAS bahawa "usul itu amat bertentangan dengan pendirian Pakatan 3 Parti pimpinan Anwar Ibrahim sebelum ini yang mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru" ? Wei Kiat seterusnya mempertikaikan gesaan Pemuda PAS itu sebagai "tidak membantu memajukan negara".
Pemuda MCA, Lee Wei Kiat ternyata sakit hati dan dukacita teramat sangat kerana Parti PAS sebagai kuda tunggangan terpenting didalam konteks pengaruhnya terhadap pengundi Melayu dan Islam, akan menggagalkan cita-cita Pakatan pembangkang untuk mewujudkan sebuah dasar ekonomi baru yang tentu-tentunya tidak akan mempunyai sebarang falsafah DEB didalamnya. Mereka mengimpikan satu dasar yang akan menghapuskan terus segala matlamat yang terkandung didalam DEB tentang keistimewaan Melayu dan sepertinya. Pakatan yang dipimpin dan oleh Anwar dan ditunggangi oleh DAP memang dikatakan bermimpi demikian, tetapi MCA juga dalam diam-diam bermimpi yang sama?
BN kata Pakatan 3 Parti itu tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Apakah MCA yang tidur sebilik dengan kita dan disangkakan bermimpi sama, rupa-rupanya ada dua mimpi dalam satu malam? Satu mimpi setuju dengan BN dan kemudian mimpi agar Pakatan 3 Parti berjaya dengan impiannya? Eh! sudah-sudahlah tu, jangan lebih sangat bermain drama.
Marah sangatnya Wei Kiat sampai dia mencabar pemimpin Pakatan 3 Parti, Anwar dan decoy taruhannya (kata saya) Lim Guan Eng supaya menyatakan pendirian sebenar dalam hal ini! Marah sangat Pemuda MCA kepada Pemuda PAS kerana lari dari landasan, dan takut sangat Wei Kiat, Pemuda PAS akan menggagalkan mimpi Pakatan itu.
MCA jangan main drama, jangan nak jolok konon kenyataan itu adalah bagi menjelaskan betapa didalam Pakatan Pembangkang, mereka semua memang tidur sebantal mimpi lain-lain.
Kalau Wei Kiat betul bertujuan demikian, maka mari kita cabar Pemuda MCA untuk menyatakan pendirian mereka yang sebenar didalam hal DEB dan semua yang bersangkut dengan falsafah keistimewaan Bumiputra dan sepertinya didalam dasar Kerajaan. Cabar bukan sahaja untuk menyatakan pendirian tetapi untuk membuktikan didalam medan perjuangan sebagai jaguh BN dibarisan paling hadapan!
Mari kita berdiri tegak dan nyatakan kebenaran perjuangan, hasrat dan impian kita. Mari kita buat apa yang kita cakap dan cakap apa yang sebenarnya kita patut buat.
Saya dan ramai lagi anak melayu dah bosan dengan lakonan dan permainan politik tikam belakang, telunjuk lurus kelingking berkait. Kita jijik tengok si Zaid Ibrahim di barisan VIP jemputan dan kita masih menunggu kesudahan skrip drama Naib Pengerusi Gerakan yang kata nak keluar Barisan. Eh! sudah-sudahlah nak menipu orang Melayu. Biar tentu-tentu kita bertempur dengan musuh yang nyata daripada memikul rakan yang menikam kita dari belakang!
Walau apa-pun, buat masa ini saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas diatas usul yang diluluskan oleh Dewan Pemuda PAS dan insaf bahawa sahabat dan saudara-saudara kita disana juga sedar akan kepentingan dasar yang telah diteroka oleh UMNO dalam menjalankan misi dan visi perjuangannya, demi Melayu demi Islam demi Negara Malaysia Untuk Semua!
Bagi saya apa yang dimaksudkan oleh YAB Perdana Menteri dengan konsep 1Malaysia ialah, marilah kita melangkah ketahap yang lebih bermakna didalam kepelbagaian kita, daripada hanya bersifat bertoleransi, kita gagahkan lagi ke tahap yang lebih bermakna, iaitu, saling menerima dan penerimaan hakikat seadanya sepertimana termaktub didalam Perlembagaan dan Semangat yang dibawa oleh Perlembagaan itu, itulah yang dimaknakan "1Malaysia".
Selari dengan itu, maka Satu Barisan bermakna kita menghayati mendokong dan memperjuangkan segala yang diperjuangkannya. Bukan hanya sekadar menuntut bahagian daripada hasil perang. Contohnya bak kata YAB PM, kenapa mesti hanya orang Melayu yang bersuara untuk Melayu dan kenapa tidak juga pemimpin Cina dan India juga meletakkan diri mereka sebagai pemimpin bagi menjuarakan perjuangan orang Melayu?
Dewasa ini orang Melayu berperang dengan isunya, MCA pula contohnya, sekali-kala menempikkan suara-suara sumbang yang menyakitkan telinga, hati dan perasaan. Sebenarnya inilah satu masaalah dalaman yang perlu diteliti dan disatukan, agar tidak nanti orang melayu berkesudahan lagi dengan asyik memberi dan tidak langsung mendapat, manakala yang dapat, tak puas-puas selagi tak habis hak melayu yang berbaki!
Jadi, Wei Kiat dan yang sewaktu dengannya, tak payah lah cabar Anwar dan Guan Eng, kerana yang perlu nyatakan pendirian sekarang bukan mereka tetapi anda dan Pemuda MCA! Anwar dan Guan Eng, bukan perlu kita kisah pendirian mereka kerana pendirian kita sendiri sudah jelas dan nyata. Mereka boleh cakap apa sahaja, selagi kita dipihak yang benar, kita tidak peduli apa mereka nak kata, tapi kita sangat peduli akan apa yang anda kata!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pejuang/// tidak sama sekali bertanggungjawab atas sebarang komen yang diberikan oleh sahabat ke dalam artikel pejuang///.