Ramai pemimpin UMNO dan juga pemimpin parti-parti komponen BN yang lain bercakap tentang masa depan yang gelap bagi BN kerana “orang muda tidak mahu kita lagi”. Jika ini benar seperti yang dirasai adalah amat membimbangkan kerana pengundi-pengundi muda akan menentukan kerajaan pada pilihan raya umum ke-13.
Tanpa disedari cakap-cakap ini tidak membantu untuk memulihkan BN khususnya UMNO kerana ia mendorongkan kepada sikap untuk menyerah kalah. Cakap cakap ini telah membangunkan keyakinan parti- parti lawan untuk mencapai matlamat menjatuhkan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-13.
Alasan penolakan BN sering diperkatakan umum ialah kerana didukung oleh pemimpin-pemimpin yang rasuah, tidak mesra rakyat, sombong dan dasarnya BN yang sudah lapuk, malah keris yang menjadi simbol UMNO juga telah dilihat sebagai “berbahaya”.
Adalah menghairankan pembangkang telah dapat hidup semula menerusi isu-isu yang dianggap sudah lapuk dan fahaman yang telah bankrap. Malaysian Malaysia yang telah ditolak oleh rakyat sedang mendapat penerimaan semula oleh generasi baru bukan Melayu dan sedang diperjuangkan dengan bagitu gigih oleh semua parti pembangkang termasuk parti Melayu.
Bekas anasir-anasir komunis Parti Komunis Malaya (PKM) juga telah aktif semula di luar dan di dalam parti-parti pembangkang dan sedang memperjuangkan kemaafan kepada pengganas komunis dan dan mahukan mereka diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Dahulunya ini hanya diperjuangkan oleh DAP dan sekarang disertai secara terang-terangan oleh Gerakan.
Komunisme mungkin dianggap sebagai ideologi yang telah mati tetapi mengambil tempat semula menerusi cauvinisme Cina yang tidak pernah mati di Malaysia, sedangkan UMNO dan Barisan Nasional tidak sekata dalam menerapkan kontrak sosial sebagai ideologi dan nilai negara.
Adalah tepat sekali ramalan Tan Sri C.C Too, Ketua Perang Saraf Polis Diraja Malaysia selama 27 tahun (1956 – 1983) bahawa PKM hanya menangguhkan perjuangan bersenjatanya, tetapi menerusi penyusupan dengan bantuan “communist surrogates” akan mencetuskan keadaan revolusi baru yang akan dipercepatkan dan diparahkan lagi oleh kemelesetan pada masa depan. (lihat buku Aloysius Chin :The Communist Party of Malaya muka 248).
Juga harus diperhatikan bahawa anasir-anasir komunis di negara ini tidak pernah jemu meneruskan perjuangan mereka untuk memulihkan nama mereka sebagai pejuang kemerdekaan dan bukannya pengganas. Untuk itu tidak sahaja buku memoir Chin Peng yang diterbitkan tetapi pemimpin Melayu PKM juga telah menulis memori masing masing seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D, Ibrahim Cik, Samsiah Fakeh dan lain lain.
Tidakkah UMNO dan parti-parti komponennya terlihat berada dalam keadaan ketinggalan zaman kerana tidak menerapkan dari awal secara sistematik ideologi parti yang anti komunis, anti perkauman dan anti ekstremisme sebagai suatu ideologi negara dengan bersungguh-sungguh menerusi semua saluran dan jentera negara terutama sekolah-sekolah.
Adalah suatu perkara yang amat menyedihkan setelah 50 tahun merdeka kita melihat keruntuhan ideologi negara dan bukannya pemantapannya semula dalam keadaan yang lebih meyakinkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pejuang/// tidak sama sekali bertanggungjawab atas sebarang komen yang diberikan oleh sahabat ke dalam artikel pejuang///.